Sunday, March 18, 2012

ENTRI 9 : PPSMI

Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris ataupun lebih dikenali dengan singkatan PPSMI merupakan dasar kerajaan yang akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun ini. Dasar yang diperkenalkan pada tahun 2003 dan dilaksanakan semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan sebuah dasar yang mendapat tentangan daripada golongan masyarakat terutamanya ahli-ahli bahasa.Menurut penerangan mengenai dasar PPSMI di laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia:

Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.
Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.
Berikut pula merupakan rentetan pelaksanaan dasar PPSMI: 

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

(Dipetik daripada http://www.malaysiakini.com/news/108063)

Pendapat saya sendiri, dasar ini mungkin dapat membantu golongan pelajar yang belajar di bandar tetapi golongan pelajar luar bandar mungkin akan semakin tertinggal. Hal ini demikian kerana kemudahan pembelajaran di luar bandar adalah sangat terhad dan golongan ibu bapa juga tidak mempunyai sumber pendapatan yang tinggi untuk menampung perbelanjaan kelas tambahan. Pensyarah bahasa yang pernah mengajar saya juga pernah berkata bahawa pembelajaran dalam bahasa penutur natif akan lebih difahami oleh pelajar. 
Kesimpulannya, saya amat menyokong dasar PPSMI ini dibubarkan oleh pihak kerajaan.

     

No comments:

Post a Comment