Tuesday, March 6, 2012

ENTRI 2 : Panggilan Hormat



Tiba-tiba teringat akan cerita yang pernah diceritakan oleh seorang pensyarah semasa berada di semester 3. Pensyarah tersebut menceritakan pengalaman beliau semasa bertugas di sebuah universiti di utara tanah air yang mana kisah tersebut dialami oleh rakan setugasnya. 
Hendak dijadikan cerita, rakan setugas beliau merupakan seorang pensyarah yang bergelar Profesor Madya (jika tidak silap) tetapi cara penampilannya tidak menggambarkan beliau merupakan seorang tenaga pengajar di situ. Situasi yang dialami oleh pensyarah tersebut ialah terdapat pelajar yang sesat dan cuba mencari arah dan terserempak dengannya lalu memanggilnya dengan panggilan 'pak cik'. Hal ini menyebabkan pensyarah tersebut berasa sangat marah lalu menegur pelajar tersebut, tetapi berdasarkan penceritaan pensyarah yang mengajar saya kemungkinan kesilapan sapaan tersebut bermula daripada rakan setugasnya sendiri. Hal ini demikian kerana pensyarah tersebut hanya memakai selipar "jepun" sebagai alas kaki manakala pakaian yang dipakainya juga bukan merupakan pakaian formal bagi seorang pensyarah. Kemungkinan juga pelajar yang bertanya arah tersebut hanya menganggap pensyarah tersebut sebagai tukang cuci di fakulti berkenaan lalu memanggil pensyarah berkenaan dengan sapaan pak cik. Pelajar berkenaan juga tidak boleh disalahkan 100% kerana kemungkinan pelajar tersebut bukan daripada fakulti berkenaan. Benarlah kata pepatah Inggeris "Don't judge a book by its cover".
Pengalaman saya sendiri, jika saya mempunyai urusan di fakulti dan terserempak dengan pensyarah yang tidak mengajar saya, saya akan memberi salam tetapi akan berfikir terlebih dahulu sapaan yang perlu diucapkan kepada pensyarah tersebut sama ada hendak mengucap salam dengan gelaran encik, cik, puan, doktor ataupun prof kepada pensyarah tersebut. Jika tersalah gelaran mungkin saya dimarahi atau tidak memberi salam mungkin dikatakan pelajar yang tidak sopan?? 


 ♥♥

No comments:

Post a Comment