Thursday, March 15, 2012

ENTRI 7 : Bahasa Melayu Tinggi


Bahasa Melayu tinggi atau juga dikenali sebagai bahasa baku atau bahasa 'standard' merupakan bahasa yang seharusnya digunakan dalam kalangan masyarakat. Bahasa Melayu tinggi tidak semestinya menggambarkan seseorang itu perlu menggunakan kosa kata yang tinggi atau pelik tetapi penutur yang menggunakan bahasa Melayu tinggi perlulah menggunakan bahasa Melayu yang sepatutnya dalam perbualannya yang mana perbualannya tidak dicampur-aduk dengan bahasa lain.
Teringat semasa saya belajar di semester 4. Pada masa itu, saya mendaftar untuk kelas Karya Agung yang mana kelas tersebut diajar oleh Prof. Emeritus Abdullah Hassan. Semasa belajar subjek tersebut, kami sentiasa diingatkan oleh Prof. supaya sentiasa menggunakan bahasa Melayu tinggi jika ingin berbicara dalam bahasa Melayu dan sekiranya kami ingin berbicara dalam bahasa Inggeris, kami perlu menggunakan bahasa Inggeris yang sewajarnya. Prof. Abdullah sangat menekankan aspek penggunaan bahasa yang betul semasa pengajarannya. Kami juga pernah ditegur semasa sesi perbentangan. Teguran yang diutarakan oleh beliau adalah seperti kami perlu menggunakan intonasi yang betul semasa membentang, penggunaan dialek perlu dikurangkan dan pelbagai lagi teguran. Teguran-teguran yang diberikan itu juga secara tidak langsung menyebabkan kami sentiasa mengawal dialek, intonasi dan sebagainya sepanjang belajar dalam kelas beliau. Teguran-teguran yang diberikan oleh Prof. Abdullah juga secara tidak langsung turut memberi kesan kepada kami agar sentiasa menggunakan bahasa Melayu tinggi semasa berbicara.




~♥~♥~♥~♥~

No comments:

Post a Comment